Umum

JAKIM sambit baik hasrat pendekkan tempoh pensijilan Halal kepada 30 hari

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik hasrat kerajaan untuk memendekkan tempoh memproses pensijilan halal kepada 30 hari daripada 51 hari.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata penilaian dan kajian terperinci dilakukan oleh JAKIM dengan kerjasama Malaysian Productivity Corporation (MPC) untuk memastikan kaedah implementasi yang bersesuaian dengan hasrat tersebut dapat dilaksanakan bermula daripada peringkat pra pensijilan sehingga pasca pensijilan halal.

JAKIM telah melaksanakan Business Process Reengineering (BPR) untuk meneliti isu dan punca kelewatan pengurusan pensijilan halal sejak Januari 2023, bagi memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap yang terbaik.

Menurutnya, “melalui BPR yang dilaksanakan, JAKIM berjaya memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) 2.0 yang terhasil melalui projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia.”

JAKIM telah menerima sebanyak 2664 permohonan sijil halal bermula 1 Januari 2023 hingga 30 September 2023, dan 90 peratus daripadanya telah selesai diuruskan manakala bakinya sedang diproses.

Tambahnya, data itu menunjukkan bahawa ISPHM 2.0 yang dilaksanakan di peringkat JAKIM benar-benar mencerminkan komitmen JAKIM untuk memperkasakan pensijilan halal Malaysia dan menambahbaik tatakelola pengendalian pengurusan pensijilan halal dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada pihak industri dan pengguna amnya.

“JAKIM turut menstrukturkan semula birokrasi permohonan dan meningkatkan keupayaan sistem sokongan sedia ada tanpa menjejaskan pematuhan industri terhadap standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang berkuatkuasa.

“Ia bagi memastikan ekosistem tadbir urus dan tatakelola penyampaian perkhidmatan yang diberikan menjadi indikator utama dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan adalah berkesan dan cekap serta memenuhi ekspektasi yang disasarkan,” katanya.

Sementara itu, JAKIM dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sedang berusaha untuk menaik taraf Sistem MYeHALAL 2.0 agar ia lebih mesra pengguna dan menepati keperluan teknologi semasa.

JAKIM mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam membangunkan sistem sokongan halal seperti i-Bimbing dan MyHMS bagi membantu pihak industri membuat persiapan yang rapi sebelum mengemukakan permohonan SPHM.

JAKIM ingin menarik perhatian industri untuk sentiasa memastikan kesediaan yang lebih baik, ke arah pensijilan halal diselesaikan di peringkat industri sebelum mengemukakan permohonan halal.

“JAKIM juga akan memberi sepenuh komitmen agar pengurusan tatakelola halal dan pengurusan pensijilan halal ditambahbaik dari semasa ke semasa demi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju halal global,” katanya.

Dalam pada itu JAKIM bersetuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kekangan sumber manusia turut menjadi cabaran bagi JAKIM mempertingkatkan prestasi pengurusan pensijilan halal.

Oleh itu JAKIM amat mengalu-alukan dan menyambut baik perhatian kerajaan untuk mempertimbangkan pertambahan sumber manusia di Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM bagi memperkemaskan pengurusan pensijilan halal Malaysia.

PALING POPULAR

To Top