Umum

Jangan bantu ‘kawan DAP’ – Pemimpin Pemuda MCA

Seorang pemimpin Pemuda MCA menggesa parti itu supaya tidak terlibat dalam pilihan raya negeri yang akan datang untuk memberi pengajaran kepada calon BN yang “angkuh” selepas “berkawan” dengan DAP.

Gesaan itu hadir di tengah-tengah ketegangan dalam BN selepas Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menggelar MCA dan MIC “biawak hidup”.

Setiausaha Agung Pemuda MCA Daniel Wa berkata parti itu telah setia kepada BN ketika waktu sukar.

“Kini dia sudah ada kawan baharu DAP, maka itu dia mendabik dada dan tidak perlukan MCA serta MIC yang digelar ‘biawak hidup’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Wan berkata MCA tidak sepatutnya meletakkan calon pada pilihan raya negeri akan datang atau membantu calon yang menjadi sombong selepas berkawan dengan DAP.

Tidak jelas sama ada MCA dan MIC telah diperuntukkan mana-mana kerusi dalam rundingan kerusi BN dengan Pakatan Harapan (PH).

Lokman sebelum ini melabel MCA dan MIC sebagai ‘biawak hidup’ sambil mengulas bagaimana dua sekutu Umno itu tidak menyumbang kepada prestasi BN pada pilihan raya.

Dia juga mempertikaikan kesetiaan MCA dan MIC.

Lokman menuduh Presiden MCA Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC M Saravanan “khianat” kerana pada mulanya menandatangani akuan berkanun menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sejurus selepas pilihan raya umum ke-15.

Justeru, Lokman berkata sekiranya kedua-dua parti itu mahu bertanding pada pilihan raya negeri akan datang, mereka perlu membuktikan bahawa mereka boleh mendapatkan sokongan bukan Melayu terlebih dahulu.

Susulan itu, Naib presiden MCA Ti Lian Ker menggelar Lokman sebagai “jurucakap DAP”.

Lokman kemudian membalas bahawa dia hanya mempertahankan kerajaan perpaduan.

Lokman, dan lain-lain dalam kepimpinan Umno dilihat berusaha untuk meyakinkan akar umbi mereka untuk menerima kerjasama dengan DAP, walaupun dua parti itu merupakan seteru politik sebelum ini.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top