Umum

Jangan nak lepas kes mahkamah jual maruah orang Melayu, kata Pemuda UMNO kepada Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dikritik keras seorang pemimpin Pemuda UMNO kerana sanggup menjual maruah orang Melayu hanya kerana mahu melepaskan diri daripada kes mahkamah dihadapinya.

Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO, Syed Mohd Syed Nasir membidas Presiden parti tersebut kerana langkahnya mengheret parti untuk berkahwin dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP semata-mata mahu menjadikan cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) ke-10.

“Saya menggesa Zahid tidak mengkhianati orang Melayu untuk kepentingan diri sendiri.

“Zahid tidak perlu perjudikan kepercayaan orang Melayu hanya kerana mahu melepaskan diri daripada kes mahkamahnya.

“Janganlah sehingga menjual maruah orang Melayu sehingga tiada prinsip,” katanya dalam kenyataan dalam akaun Facebooknya.

Beliau juga menggesa agar Zahid melepaskan jawatannya kerana prestasi buruk UMNO-Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu dan meminta semua ahli UMNO bersatu untuk menyingkirkan pihak yang “mengkhianati” kepercayaan orang Melayu, supaya parti boleh mendapatkan semula keyakinan orang Melayu.

Untuk rekod, Zahid melanggar ketetapan parti sebelum ini yang jelas menolak Anwar dan DAP, namun selepas PRU-15 mengambil keputusan untuk bersekedudukan dengan parti musuh bagi membentuk kerajaan pusat.

Tanpa sokongan Zahid yang membawa bersama 29 Ahli Parlimen BN untuk menyokong PH-DAP, Anwar mungkin tidak dapat menjadi PM Ke-10.

Untuk rekod, Zahid juga masih berdepan pendakwaan di mahkamah melibatkan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Umum juga mengetahui Zahid dan Anwar sebelum ini berpakat dalam menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top