Umum

PRN Selangor: DAP harap penyokong beri undi kepada calon UMNO

Penyokong DAP digesa memberi undi kepada calon UMNO yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini.

Walaupun lama bermusuhan, kini keadaan sudah berubah dan menjadi kewajipan bagi penyokong DAP untuk menyokong dan memberi undi kepada calon UMNO di Selangor, kata calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara, Ng Sze Han.

Gesaan Sze Han itu ditujukan kepada penyokong DAP di Dusun Tua supaya menyokong calon UMNO, Datuk Johan Abdul Aziz.

Tambah beliau, walaupun sukar untuk menerima hakikat bahawa persengketaan yang wujud antara DAP dan BN sejak sekian lana, namun kini kedua-dua parti itu bergabung bagi memastikan kemenangan dicapai pada PRN enam negeri.

“Masa saya datang sini tadi, ada penyokong DAP tanya bukankah dulu kamu bermusuh dengan UMNO BN, mengapa sekarang sudah bersama? Benar, kita pernah bersengketa dan berlawan begitu lama tapi masa itu sudah berlalu. DAP dan BN kini bersama.

“Datuk Johan ini adalah kawan baik saya, saya kenal beliau. Pemimpin seperti inilah yang kita mahu di Dusun Tua, beliau bukan dalam kalangan pemimpin yang kerja dua minggu berkempen dan tidur lima tahun, sebaliknya sentiasa bertungkus lumus,” katanya dipetik laporan portal MG ketika berkempen di Dusun Tua.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong (DAP), Yeo Bee Hin mengingatkan penyokong dan pengundi DAP bahawa kemenangan BN merupakan kemenangan PH dan Kerajaan Perpaduan.

“Jangan fikir ini senang untuk kita juga, saya beri contoh kepada anda. Saya lawan Datuk Jamal Yunos UMNO di mahkamah selama empat tahun lawan.

“Tapi baru-baru kami duduk satu pentas berceramah. Beliau naik pentas dan meminta sokongan penyokong UMNO diberikan kepada PH, DAP,” ujarnya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top