Sports

Jaringan Ronaldo didakwa tidak sah

Jaringan kemenangan kontroversi Cristiano Ronaldo pada minit ke-95 untuk Manchester United ketika menentang Villarreal mencetus perdebatan di media sosial, dalam aksi peringkat kumpulan F Liga Juara-Juara, di Old Trafford, awal pagi tadi.

Rata-rata peminat mendakwa ia sepatutnya dibatalkan kerana pemain gantian United, Jesse Lingard berada dalam kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, sebahagian lagi mengatakan ia tidak ofsaid kerana penjaga gol Villarreal Geronimo Rulli tidak dihalang pemain United itu.

Ronaldo meledak gol kemenangan dalam masa kecederaan selepas Alex Telles menyamakan kedudukan apabila Villarreal mendahului tuan rumah menerusi jaringan pembukaan Paco Alcacer.

Video Bantuan Pengadil (VAR) mengiktiraf jaringan Ronaldo untuk kemenangan 2-1 United pada perlawanan yang dikuasai Villarreal.

Sebahagian peminat mendakwa, gol itu pasti akan dibatalkan jika ia tidak datang daripada United.

Sebahagian lagi pula mengatakan Lingard yang terbaring di depan Rulli tidak menghalang pemandangan atau pergerakan penjaga gol itu.

Pakar statistik pula lebih memberi perhatian kepada jumlah jaringan Ronaldo dalam masa kecederaan itu.

“Ini adalah kali ke-12 Ronaldo menjaringkan gol pada minit ke-90 atau dalam masa kecederaan saingan Liga Juara-Juara,” kata salah seorang peminat.

Seteru tradisinya, Lionel Messi yang kini bersama Paris Saint-Germain, baru enam kali menjaringkan gol dalam tempoh akhir permainan di kejohanan tertinggi Eropah itu. – AGENSI

PALING POPULAR

To Top