Umum

Jho Low bayar AS$20 juta untuk bergambar dengan Barack Obama

Penyanyi rap, Prakazrel ‘Pras Michel’, mendakwa dia dibayar AS$20 juta (RM88.6 juta) oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, bagi membantunya bergambar dengan bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Ahli kumpulan Fugees itu memberi keterangan terbabit di mahkamah semalam bagi membela dirinya

Dia kini menghadapi tuduhan konspirasi jenayah, melobi bagi negara luar dan mengenakan bayaran kempen dengan berkomplot bersama Jho Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran Obama dan bekas presiden AS, Donald Trump.

Di hadapan juri di Washington, pemenang anugerah Grammy itu berkata Jho Low, yang dituduh menyeleweng AS$4.5 bilion (RM20 bilion) daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak mengarahkannya membuat derma kempen menggunakan wang bagi bergambar itu.

Michel berkata dia menggunakan sebahagian wang berkenaan untuk membawa tiga rakan menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul derma untuk Obama dengan bayaran AS$40,000 (RM1.8 juta) seorang dan mendakwa tidak menyedari ia satu kesalahan.

“Bila anda menerima wang daripada Jho Low, anda menggunakannya untuk membuat sumbangan politik,” soal Pendakwa Raya Persekutuan, John Keller, di mahkamah Washington.

Michel menafikannya dan di luar jangkaan umum, secara terbuka memberi keterangan di mahkamah.

“Ada sekali dia memberi saya wang, maka terpulang pada budi bicara saya bagaimana mahu membelanjakannya sebab ia kini wang saya,” katanya sambil menyifatkan sumbangan Jho Low itu sebagai ‘wang percuma’.

Adalah menjadi satu kesalahan bagi warga asing menyumbang kepada kempen pemilihan di AS, termasuk menggunakan orang ketiga bagi membuang sumbangan seumpamanya.

Michel dituduh bersubahat dengan Jho Low dalam tiga skim, yang menurut pihak pendakwa, dia dibayar jutaan dolar.

Di bawah tuduhan pertama, pendakwa berkata Michel melanggar Undang-Undang Pilihan Raya Persekutuan dengan menyalurkan sekitar AS$2 juta (RM8.8 juta) daripada Jho Low kepada dana kempen Obama pada 2012, dengan menipu mengenai sumber sumbangan berkenaan.

Michel juga dituduh cuba mempengaruhi Jabatan Keadilan era Trump untuk menghentikan siasatan sivil dan jenayah berhubung skandal 1MDB Jho Low.

Dia juga dituduh cuba melobi melobi kerajaan AS bagi pihak kerajaan China, untuk menghantar pulang ahli perniagaan China. Guo Wengui, kembali ke negaranya. – REUTERS

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top