Umum

Mahkamah tolak permohonan Najib untuk tangguh perbicaraan 1MDB

Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Mahkamah membuat keputusan itu sementara menunggu rayuan Najib untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah daripada mendengar kes berkenaan.

Justeru perbicaraan membabitkan Najib yang juga bekas menteri kewangan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu depan.

Pada 18 Ogos lalu, Sequerah menolak permohonan Najib supaya dia menarik diri daripada mendengar perbicaraan 1MDB, atas alasan berlaku konflik kepentingan.

Ia susulan pendedahan hakim berkenaan bahawa dia dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di firma Zain & Co kira-kira 15 tahun lalu.

Dalam keputusan sebulat suara hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hadhariah Syed Ismail dan dianggotai hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah, memutuskan bahawa tiada keadaan khas yang mewajarkan penangguhan perbicaraan 1MDB.

“Kami tidak bersetuju bahawa rayuan (untuk menggugurkan Sequerah) akan terbatal jika perbicaraan diteruskan (di Mahkamah Tinggi pada Isnin hingga Rabu minggu depan).

“Kepentingan awam menyebabkan perbicaraan ini perlu diteruskan. Perbicaraan kes ini berada di peringkat lanjutan,” kata Hadhariah.

Hakim itu turut berkata perbicaraan kes itu telah melebihi 176 hari sejak ia mula dibicarakan pada 2019.

Ketika ditemui pihak media selepas prosiding, peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah berkata dia telah mendapat arahan daripada Najib untuk mengemukakan permohonan baru di Mahkamah Persekutuan bagi menangguhkan perbicaraan ke 1MDB.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar.

Sequerah sebelum ini memutuskan bahawa pekerjaannya yang lepas tidak memadai untuk menunjukkan bahaya berat sebelah, memandangkan dia tidak ada hubungan dengan Loo sejak wanita itu meninggalkan firma guaman Zain & Co pada 2008.

Sequerah meninggalkan firma itu pada 2014 apabila dia dilantik sebagai hakim.

Hakim itu menegaskan bahawa tiada komunikasi, sama ada peribadi atau profesional, antara dia dan Loo sejak 2008, dengan Loo telah terlibat sebagai peguam am dengan 1MDB pada 2011.

“Mengenai penglibatan Loo dalam kes itu, ia bermula pada 2011 apabila dia (mempunyai kaitan) 1MDB. Ini tiada kaitan dengan masa saya berada di Zain & Co (dengan Loo),” kata Sequerah.

Tambahnya, pasukan pembelaan bukan sahaja gagal menunjukkan hubungan peribadi atau profesional antara dia dan Loo, malah gagal memberikan bukti hubungan kewangan atau hubungan secara langsung dengan Loo.

Bekas peguam itu menegaskan bahawa ini dikuatkan dengan fakta bahawa dia bertugas di jabatan litigasi firma guaman itu, manakala Loo di jabatan berasingan di firma itu yang berurusan dengan hal korporat.

Sequerah juga menolak permohonan Shafee untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung permohonan Najib untuk menggugurkan hakim berkenaan.

Sebelum ini semasa pendengaran permohonan untuk menggugurkan hakim berkenaan, Shafee berhujah terdapat persepsi risiko berat sebelah di pihak Sequerah, yang merupakan rakan kongsi dalam Zain & Co ketika Loo menjadi rakan kongsinya pada 2004.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar berhujah Loo hanya terlibat dengan 1MDB pada 2011, iaitu tiga tahun selepas dia meninggalkan firma guaman itu pada 2008.

Bulan lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Loo ditahan selepas menyerah diri kepada pihak berkuasa Malaysia selepas bertahun-tahun melarikan diri.

Najib menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, sebuah dana kekayaan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Sumber: MalaysiaKini

PALING POPULAR

To Top