Umum

Permohonan Najib gugurkan hakim ditolak

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menggugurkan Hakim Collin Lawrence Sequerah daripada prosiding pendengaran kes berhubung penyelewengan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan bekas perdana menteri itu supaya menarik diri, disebabkan hubungan beliau dengan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.

Sequerah pada bulan lepas mendedahkan bahawa beliau pernah berkhidmat di sebuah firma bersama dengan Loo, yang kini dalam tahanan polis.

Dalam keputusan hari ini, Sequerah berkata ia memandangkan sejak Loo meninggalkan firma berkenaan pada 31 Dis 2008, beliau tidak pernah berkomunikasi dengan Loo, sama ada secara profesional atau peribadi, iaitu sejak kira-kira 15 tahun lepas.

“Sejak Loo meninggalkan firma itu pada 31 Dis 2008, tiada sebarang asas yang dikemukakan di mahkamah ini bagi menunjukkan sebarang hubungan, sama ada profesional atau peribadi, dan kini 15 tahun telah berlalu,” katanya. 

Sequerah seterusnya berkata perlu ada pertalian yang jelas antara hakim dengan keadaan yang berkaitan dengan keputusannya yang menjadi pertikaian, terhadap tanggungjawabnya untuk mendedahkan pekerjaannya sebelum ini di Tetuan Zain & Co.

“Tiada kemungkinan, tiada sedikit pun bukti untuk membentuk sebarang asas bagi menunjukkan wujud sebarang bentuk perhubungan mungkin boleh ditimbulkan. Berikutan perkara di atas, tidak ada keperluan di pihak saya untuk mendedahkan fakta pekerjaan lepas di firma guaman itu sebenarnya.

“Keputusannya ialah berdasarkan alasan yang dinyatakan, permohonan untuk saya menarik diri, dengan ini ditolak,” katanya.

Pada 14 Ogos, Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan untuk Sequerah menarik diri daripada mendengar kes itu, selepas Sequerah mendedahkan bahawa Loo pernah menjadi bekas rakan sekerjanya kira-kira 10 hingga 15 tahun lepas.

Loo yang namanya disebut  lebih 600 kali semasa perbicaraan 1MDB, sebelum ini dianggap sebagai orang yang menjadi buruan pihak berkuasa sehingga baru-baru ini, apabila dia berada di bawah tahanan polis Malaysia. 

Pada 12 Julai lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Loo telah ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Di kandang tertuduh ialah Najib, 70, yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan bersambung.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top