Umum

JKM kesan pengemis yang miliki Proton X70 hasil mengemis

Gambar Facebook

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Maran telah mengesan seorang individu berusia yang mengemis di pasar malam Sri Jaya tapi sebenarnya mampu memiliki sebuah Proton X70.

Menurut laporan media, individu tersebut mampu meraih sehingga RM500 dalam tempoh beberapa jam hasil mengemis.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook JKM Maran, dalam operasi pembasmian aktiviti itu, lelaki tersebut berjubah dan berkopiah berdiri di celahan payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas meminta simpati orang ramai yang lalu-lalang.

“Kedua-dua tangan lelaki tersebut kelihatan kecil tidak seperti tangan manusia normal.

“Pegawai penguat kuasa JKM Maran menghampiri lelaki tersebut dan bertanyakan tujuan beliau meminta sedekah, namun tidak dijawab.

“Lelaki itu kelihatan seperti seorang yang pekak dan bisu. Dilihat di dalam beg kertasnya ada kepingan duit kertas hasil sedekah pengunjung pasar malam,” ujar hantaran tersebut.

Operasi di pasar malam Sri Jaya, Maran pada Rabu berjaya mengesan aktiviti lelaki tersebut.

Jelas hantaran tersebut, berkali-kali penguat kuasa JKM meminta kad pengenalan bagi tujuan rekod operasi tetapi tidak mendapat maklum balas daripada lelaki tersebut dan hanya bersuara setelah didesak.

“Dia menyatakan bahawa kad pengenalannya berada di dalam kereta. Penguat kuasa JKM mengekori lelaki tersebut ke keretanya.

“Percaya atau tidak, seorang yang tadinya hanya berdiri meraih simpati orang ramai atas kekurangan dirinya memandu sebuah Proton X70 Flagship,” ujar hantaran itu.

Siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut tinggal di Balok, Kuantan dan akan ke pasar-pasar malam untuk menjalankan aktiviti mengemis.

“Semakan juga mendapati lelaki itu menerima Elaun Pekerja OKU daripada pihak JKM sebanyak RM450 sebulan sejak tahun 2001 lagi dan mengaku SUV tersebut adalah miliknya.

Menurutnya lagi, hasil kutipan daripada aktiviti mengemis boleh mencecah sehingga RM500 bagi tempoh empat hingga lima jam berada di pasar-pasar malam.

“Lelaki tersebut dilepaskan dengan amaran oleh penguat kuasa JKM dengan surat teguran.

“Tidak salah untuk bersedekah tetapi bersedekahlah kepada orang dan tempat yang betul,” ujar hantaran tersebut.

PALING POPULAR

To Top