Umum

Jumlah kes denggi meningkat sebanyak 18.7 peratus

Minggu Epidemiologi ke-36 2023 (ME36), bagi tempoh 3 September hingga 9 September, telah melaporkan 2,284 kes denggi berbanding 1,924 pada minggu sebelumnya. Ini adalah peningkatan sebanyak 360 kes bersamaan 18.7 peratus . ME36 juga telah melaporkan 2 kematian akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME36 ialah 82,485 kes berbanding 39,188 kes bagi tempoh sama pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 43,297 kes atau 110.5 peratus.

 

Jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi juga mrekodkan peningkatan iaitu 59 berbanding 24 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Bilangan lokaliti hotspot mencatatkan penurunan daripada 83 pada minggu sebelumnya ke 66 pada minggu ini, iaitu penurunan sebanyak 17 lokaliti. Daripada 66 lokaliti tersebut, 47 lokaliti berada di Selangor, 13 lokaliti berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, 3 lokaliti di Kelantan serta masing-masing 1 di Sabah, Pulau Pinang dan Perak.

 

Dr. Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, 3 kes direkodkan pada ME36 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini 166 kes.

Bagi survelan zika pula, 2,114 sampel darah serta 167 sampel urin disaring dan hasilnya semua negatif.

Dalam kenyataan yang sama, Dr. Muhammad Radzi juga mengingatkan yang Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengumumkan bahawa Malaysia sedang berada dalam fasa akhir monsoon barat daya dan akan memasuki fasa peralihan monsoon dalam bulan September dimana dijangkakan cuaca panas di siang hari dan hujan pada waktu petang.

Beliau juga menasihati agar dibuang barang lusuh yang tidak digunakan, dan memastikan tiada bekas yang menakung air terutamanya di kuar rumah.

Pastikan bekas penyimpanan air ditutup rapat dan kerap dibersihkan bekas minuman haiwan serta alas pasu di luar rumah.

“Amalkan tabiat Cari dan Musnah sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu bagi memastikan kawasan rumah bebas dari tempat pembiakan Aedes” ujarnya lagi.

Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.

 

Sumber KKM

PALING POPULAR

To Top