Umum

Juri ditunjukkan invois rantai berlian USD23 juta direka khas untuk Rosmah

Juri dalam perbicaraan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng, akhirnya melihat bukti kukuh barangan yang dibeli dengan wang yang didakwa diseleweng dalam skandal rasuah berbilion dolar 1MDB.

Namun juri tidak dapat melihat rantai sebenar bernilai USD23 juta itu yang dimeliputi berlian merah jambu yang cukup besar untuk menjadi pemberat kertas, direka oleh Lorraine Schwartz di New York untuk Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.

Malah mereka tidak ditunjukkan gambar rantai itu, hanya invois.

Pada perbicaraan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Amerika Syarikat, pendakwa menggulung kes dan menunjukkan kepada juri bagaimana dana berbilion dolar yang dialihkan daripada tiga transaksi bon 1MDB bernilai USD6.5 bilion oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, digunakan untuk membeli barangan mewah.

Low juga dituduh menyalurkan dana 1MDB kepada rakannya, iaitu anak tiri Najib, Riza Aziz, untuk membantu menghasilkan filem “The Wolf of Wall Street”.

Juri ditunjukkan gambar DVD filem itu – dan tangkap layar daripada kredit filem yang mengucapkan terima kasih kepada Low atas sokongannya.

Syarikat produksi Red Granite milik Aziz bersetuju pada 2018 untuk membayar USD60 juta bagi menyelesaikan dakwaan Jabatan Kehakiman AS bahawa ia membiayai filem terbabit dan lain-lain dengan wang yang digelapkan daripada 1MDB.

Menurut pendakwa, entiti yang dikawal oleh Low juga menggunakan wang 1MDB untuk membeli lima karya seni daripada rumah lelongan Christie dengan harga USD58.3 juta, termasuk USD51.8 juta bagi karya Jean-Michel Basquiat bertajuk “Dustheads”.

Schwartz, yang antara pelanggannya terdiri daripada selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively, mungkin menjadi saksi dalam kes itu. Sebaliknya beliau memberi kenyataan yang dimasukkan oleh pendakwa dalam rekod rasmi mahkamah.

Low menghubungi Schwartz pada Jun 2013, memintanya mereka bentuk rantai berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati di tengahnya untuk Rosmah.

Namun apabila Rosmah meminta berlian seberat 18 karat, “Schwartz berkata, beliau hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat” dan perjanjian bernilai USD23 juta dicapai untuk permata yang lebih besar itu.

Schwartz kemudiannya menghantar sendiri rantai itu kepada Rosmah ketika dia berada di atas kapal layar dengan Low di luar pantai Monaco, menurut rekod.

Rosmah kemudian membeli barang kemas tambahan bernilai USD1.3 juta daripada Schwartz pada 2014.

Ng, satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal itu, dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner, membantu Low menyelewengkan berbilion-bilion dolar daripada tiga urus niaga bon yang diatur oleh bank tersebut untuk 1MDB.

Low juga didakwa bersama Ng secara in absentia, manakala Leissner sebelum ini mengaku bersalah, bekerjasama dengan AS dan memberi keterangan terhadap Ng dalam perbicaraan itu.

Sumber: FMT News

PALING POPULAR

To Top