Umum

Masyarakat digesa lapor salah laku kaki ponteng puasa

Penduduk setempat digesa membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dengan melaporkan sebarang salah laku umat Islam yang ponteng puasa pada bulan Ramadan agar tindakan segera dapat diambil.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Kedah Datuk Najmi Ahmad berkata maklumat awam sangat diperlukan bagi membantu penguatkuasaan berikutan masyarakat lebih dekat dan mengetahui taktik golongan itu.

“Kadang-kadang yang buka kedai makan itu jiran atau kawan mereka, jadi mereka perlu mainkan peranan melaporkan hal berkenaan. Kalau penguat kuasa hendak periksa semua kedai makan satu-satu agak sukar, tetapi apabila ada laporan kita boleh ambil tindakan segera dengan lebih berkesan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Menghormati Bulan Ramadan 1443H di sini, pada Khamis.

Mengenai kempen itu, Najmi berkata lebih 100 anggota penguat kuasa JHEAIK akan digerakkan bagi memantau premis menjual makanan yang melakukan kesalahan sepanjang Ramadan nanti.

Katanya pemantauan berterusan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dijalankan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, Seksyen 14, kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

Menurutnya antara kesalahan yang dinyatakan adalah menjual kepada orang Islam makanan, minuman, rokok atau benda seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta merta, dan secara terbuka di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain seumpamanya.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top