Selebriti

KARYAWAN rayu PM pulih industri kreatif

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulihkan semula industri kreatif yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19 dan memberi perhatian sama seperti sektor ekonomi lain.

Mengucapkan tahniah atas pelantikan sebagai Perdana Menteri kesembilan, KARYAWAN yakin Ismail Sabri akan terus membantu menjaga kebajikan dan pembangunan industri seni.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, berkata pihaknya percaya Perdana Menteri faham struktur industri seni tempatan dan permasalahan yang berlaku sekarang.

“KARYAWAN berharap legasi ditinggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan amat baik sekali seperti penyaluran bantuan dan insentif untuk warga seni mengharungi pandemik, diteruskan,” katanya dalam kenyataan.

Freddie berkata, penggiat seni tempatan sekarang berdepan situasi meruncing.

“Tiada filem ditayangkan di pawagam dan tiada persembahan pentas atau acara dapat dilaksanakan. Akhirnya, penggiat pastinya lumpuh.

“Ramai penggiat seni terpaksa menjalankan aktiviti alternatif seperti berniaga kecil-kecilan untuk kelangsungan hidup. Dalam suatu sudut, ini dianggap positif.

“Namun, apa yang pasti, pembikinan karya dan kerja seni terpaksa dikurangkan. Ini menjadi suatu kemerosotan buat industri kreatif tanah air,” katanya.

Freddie berkata, penggiat seni berharap kerajaan memberi kebenaran atau menetapkan dasar bagi membolehkan kerja seni diteruskan.

“Seandainya industri kami ditutup atas faktor pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih lama, pasti ia akan menguncupkan lagi kerja kami,” katanya.

Sementara itu, Freddie berharap semua penggerak seni termasuk persatuan bersatu dan melupakan segala yang terjadi sebelum ini demi masa hadapan.

“Selepas 30 tahun saya terbabit dalam pelbagai persatuan dan sering berselisih pendapat, rasanya, kita perlu bersatu dan melupakan segala yang berlaku.

“Industri kreatif bukan lagi tenat, malah, dalam peringkat ‘reset’. Usaha ini memerlukan penyatuan daripada semua penggiat industri untuk membangunkannya semula,” katanya.

Freddie sedia mencari titik persamaan dengan pihak lain demi kepentingan industri seni.

“Saya mendapat inspirasi apabila melihat jiwa besar ditunjukkan Perdana Menteri baharu kita yang mempelawa semua parti politik bekerjasama seperti sebuah keluarga demi kepentingan negara.

“Pemimpin negara sanggup mengetepikan perselisihan dan perbezaan ideologi demi membangunkan kembali negara dalam situasi mencabar ini.

“Jadi, haruslah kita mencari konsensus dan terus bersama aspirasi kerajaan. Perkara yang lepas kita lupakan, ayuh maju ke depan, demi industri seni dan negara,” katanya.

PALING POPULAR

To Top