Politik

Keahlian Noor Effandi gugur serta-merta – Biro Politik Bersatu

Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Datuk Noor Effandi Ahmad gugur serta-merta susulan tindakannya menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Keputusan itu dibuat oleh Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mesyuarat pada Rabu.

“Biro Politik Bersatu juga telah membuat ketetapan bahawa ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad gugur keahliannya secara serta-merta di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.

“Ketetapan ini akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan datang,” kata parti itu dalam satu kenyataan malam ini.

Dalam mesyuarat itu, Biro Politik Bersatu turut membincangkan perkembangan politik terkini di negeri Melaka dan menyatakan rasa kecewa dengan situasi tersebut.

“Biro Politik Bersatu melahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan empat ADUN Melaka yang menarik sokongan terhadap YAB Ketua Menteri Melaka sehingga membawa kepada pembubaran DUN Melaka ketika rakyat sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Biro Politik BERSATU berpendapat bahawa kemelut politik ini berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu dan ianya bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara pada ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan,” katanya kenyataan itu lagi.

Justeru, parti itu berpendirian bahawa kemelut politik di negeri Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Astro Awani

PALING POPULAR

To Top