Umum

Keahlian terhenti sekiranya 6 MP sokong PM gagal balas arahan bertulis dalam tempoh 14 hari

Gambar Facebook

6 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi tempoh 14 hari untuk membalas arahan bertulis dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu pada hari Jumaat.

Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam parti itu terhenti dengan serta-merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.

Tambahnya, arahan bertulis itu juga turut dihantar kepada semua wakil rakyat Bersatu yang lain.

“Khusus kepada 6 orang yang telah mengumumkan untuk menyokong sebelah sana, ada beberapa arahan tambahan yang kita berikan kepada mereka.

“Mereka diperlukan untuk mengakui, menerima dan mengesahkan pematuhan semua arahan dalam tempoh 14 hari dari tarikh arahan tersebut.

“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam Bersatu terhenti dengan serta merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Sebelum ini 6 ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar namun masih kekal dalam parti.

Mereka yang terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Bersatu yang diluluskan baru-baru ini membolehkan keahlian mereka tergugur, seterusnya mengosongkan kerusi kerana menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Hamzah berkata, surat arahan bertulis berkenaan telah dihantar menerusi email, pos dan juga serahan tangan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan arahan spesifik yang dinyatakan dalam surat berkenaan kepada enam ahli Parlimen terbabit.

Ditanya adakah arahan bertulis tersebut merupakan peluang kepada enam ahli parlimen untuk menarik semula sokongan yang dinyatakan kepada Anwar sebelum ini, Hamzah menyerahkan tindakan lanjut oleh ahli parlimen berkenan.

“Dia baca surat tu, dia faham dan dia tahu apa yang patut dilakukan. Jadi boleh tanya mereka. Saya tak tahu apa mereka akan buat,” ujarnya.

Jelas Hamzah, surat arahan tersebut secara umumnya menekankan bahawa, sebagai ahli parti, mereka mempunyai tanggungjawab bawah Perlembagaan parti khususnya untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.

Katanya, setiap wakil rakyat juga perlu mengetahui bahawa kepimpinan Bersatu telah membuat ketetapan tidak menyokong atau menyertai kerajaan yang diterajui Anwar sebagai perdana menteri.

“Bersatu juga tidak menyokong mana-mana Menteri Besar atau Ketua Menteri, atau menyertai mana-mana kerajaan negeri yang tidak dipersetujui oleh Bersatu.

PALING POPULAR

To Top