Umum

Kebakaran di kediaman Koo Ham, polis temui molotov cocktail

Kebakaran di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Dato Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar dipercayai berpunca molotov cocktail.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, siasatan awal yang dilakukan di lokasi kejadian telah menemui satu botol disyaki mengandungi bahan letupan berkenaan.

Hasil penemuan itu, polis tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

“Usaha mengesan individu terlibat masih diteruskan dan polis beri jaminan siasatan dilakukan secara terperinci daripada pelbagai aspek,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, pemimpin DAP tersebut bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kebakaran hanya melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.

“Orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes ini,” katanya.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat kejadian itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan polis.

PALING POPULAR

To Top