Pada 15 Oktober lalu, dilaporkan insiden yang meragut nyawa 2 peniaga burger akibat renjatan elektrik.
Ekoran itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan hari Jumaat telah menyatakan kebocoran arus yang disebabkan oleh kabel bekalan fasa hidup yang bocor dan terdedah terkena pada kerangka gerai jenis besi dan zink telah dikenal pasti sebagai punca insiden tersebut.
Menurutnya, penemuan itu adalah hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak suruhanjaya selaras dengan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.
“Ini telah menyebabkan kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik apabila tersentuh dengan bahagian badan kabin gerai yang bertenaga tersebut,” jelasnya.
Suruhanjaya Tenaga berkata tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan.
Beberapa garis panduan keselamatan penggunaan elektrik untuk rujukan pemilik, pengusaha perniagaan dan orang ramai turut dikongsikan oleh Suruhanjaya itu.
Antaranya adalah memastikan tiada sambungan elektrik secara haram dan melantik kontraktor elektrik dan orang kompeten yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik.