Buletin

Keganasan rumah tangga meningkat sepanjang pandemik

Pandemik Covid-19 di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 menyaksikan kes keganasan rumah tangga meningkat sebanyak lapan peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut statistik dikeluarkan pertubuhan Sister In Islam (SIS), kes keganasan rumah tangga tahun lalu direkodkan sebanyak 23 peratus jika dibandingkan ketika 2019 yang mencatatkan 15 peratus.

Menurut kenyataan SIS, antara bentuk keganasan dialami adalah penderaan fizikal (37 peratus), penderaan psikologi (31 peratus), penderaan sosial (11 peratus), penyalahgunaan kewangan (16 peratus) dan keganasan seksual (lima peratus).

Jelas pertubuhan itu, statistik itu direkodkan menerusi perkhidmatan Telenisa yang diwujudkan pihaknya sebagai saluran aduan masalah rumah tangga yang beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 10 malam bermula Isnin hingga Jumaat.

“Pandemik Covid-19 telah menyebabkan berlakunya pelbagai masalah sosial terutamanya dalam kalangan golongan wanita kerana kes keganasan rumah tangga melonjak naik sejurus PKP dilaksanakan dengan statistik ini direkodkan menerusi aduan Telenisa sama ada melalui panggilan telefon dan kiriman WhatsApp.

“Sepanjang pandemik tahun lalu, kami telah menerima panggilan melibatkan 422 individu dengan 364 daripadanya adalah klien baharu manakala 58 klien ulangan. Sejumlah 373 orang atau 88 peratus adalah jantina wanita dan 31 lelaki serta selebihnya jantina tidak dikenal pasti,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, wanita merupakan antara golongan terdedah akibat kesan pandemik Covid-19 apabila mereka berhadapan penderaan fizikal dan emosi yang berpunca oleh konflik rumah tangga.

Dalam pada sama, SIS memaklumkan, empat punca utama perceraian suami isteri tahun lalu adalah keganasan rumah tangga (23 peratus), suami tidak memberi nafkah (18 peratus), curang (14 peratus) dan poligami serta masalah kewangan (19 peratus).

“Seperti diketahui umum, ramai yang telah kehilangan punca rezeki ketika pandemik tercetus hingga menyebabkan masalah kewangan dan beban ekonomi lebih berat ke atas isi rumah.

“Malah ketika pandemik melanda, terdapat beberapa kes di mana sesetengah isteri hanya mendapat tahu suami telah mengahwini isteri baharu tanpa restu atau kebenaran mereka,” katanya.

Pada masa sama, SIS memaklumkan, penurunan statistik pertanyaan berhubung hak harta sepencarian sebanyak 17 peratus pada 2020 berbanding 27 peratus (2018) dan 20 peratus (2019) disebabkan isteri dimaklumkan oleh suami supaya tidak membuat tuntutan ke atas harta sepencarian.

Kata kenyataan itu, tindakan berkenaan menyebabkan mereka beranggapan bahawa tidak mempunyai berbuat hak sedemikian kerana tidak pernah sumbangan dalam bentuk kewangan.

SIS justeru itu menggesa kerajaan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap suami yang gagal memenuhi tanggungjawab nafkah kepada keluarga dan menubuhkan satu agensi yang berperanan menaksir dan melangsaikan nafkah tertunggak bagi anak-anak terkesan akibat penceraian ibu bapa.

“Tujuan agensi ini adalah untuk menyediakan dana secukupnya bagi anak-anak dan menjadikan nafkah keluarga sebagai bayaran automatik dan berterusan tanpa memerlukan perintah mahkamah,” ujar SIS.

PALING POPULAR

To Top