Buletin

Enam Hospital Swasta Akan Jadi PPV Di Pulau Pinang

Enam hospital swasta di Pulau Pinang akan dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mulai pertengahan Jun dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau telah dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bahawa bermula minggu kedua bulan Jun, enam hospital swasta akan terlibat sama dalam proses vaksinasi membabitkan masyarakat umum.

“Enam hospital itu akan mula beroperasi pada minggu kedua dan ini juga akan disusuli dengan penambahan klinik-klinik swasta dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow turut berharap kadar vaksinasi di negeri ini dapat ditingkatkan dengan pembukaan pusat pemberian vaksin bersaiz besar.

“Dengan usaha sama pihak swasta, sasaran untuk menyempurnakan kadar vaksinasi pada penghujung tahun ini adalah 1.3 juta rakyat Pulau Pinang demi mencapai imuniti kelompok di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata menjelang sekatan pergerakan penuh esok, beliau dimaklumkan polis akan mengadakan 43 sekatan jalan raya (SJR) yang beroperasi sepanjang tempoh berkenaan dengan membabitkan 665 anggota.

PALING POPULAR

To Top