Umum

Kejadian tembakan di KLIA, Polis edarkan gambar suspek

Gambar FMT

Gambar suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 diedarkan oleh Polis awal pagi tadi ke semua pintu masuk negara di Utara Semenanjung, dan pihak berkuasa negara jiran.

Menurut Ketua Polis Negara Razarudin Husain, arahan itu dikeluarkan sebaik sahaja pihaknya berjaya mengenal pasti suspek terlibat dalam kejadian tersebut yang menyebabkan seorang pengawal peribadi cedera parah.

Susulan itu, Polis memperketatkan kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan suspek meloloskan diri ke negara jiran.

Suspek dipercayai masih berada di dalam negara dan usaha mengesan lelaki itu sedang giat dijalankan.

“Saya percaya dengan kecekapan anggota saya,” katanya dilaporkan FMT.

Razarudin berkata siasatan awal mendapati suspek menggunakan pistol separa automatik berkaliber sembilan milimeter semasa kejadian, yang disyaki diperolehi suspek dari negara jiran.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilapor berkata polis melancarkan operasi mengesan lelaki itu selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara menjejakinya.

 

PALING POPULAR

To Top