Umum

Kenapa 1 Syawal pada 2 Mei? Ini penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan

  

Salah satu daripada 29 lokasi cerapan anak bulan telah mengesahkan kenampakan anak bulan Syawal, sekali gus menyebabkan 1 Syawal diisytiharkan pada 2 Mei 2022.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata cuaca yang cerah serta tiada sebarang halangan telah memungkinkan anak bulan Syawal dilihat di negara ini.

“Pada kali ini agak berlainan daripada kebiasaan sebenarnya kerana salah satu lokasi daripada 29 lokasi yang diwartakan untuk mencerap anak bulan telah melaporkan kenampakan anak bulan.

“Jadi dengan kenampakan anak bulan tersebut, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah isytiharkan 2 Mei esok adalah 1 Syawal, bererti ia tidak selaras dengan apa yang telah dijangkakan sebenarnya.

“Bagi kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Melihat Anak Bulan, kita bergantung kepada laporan daripada pihak-pihak yang mencerap,” katanya kepada media di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Beliau sebelum itu hadir bagi proses melihat anak bulan Syawal yang turut disertai daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Ditanya berkenaan kekeliruan yang berlaku dalam isu pencerapan anak bulan, Luqman berkata kekeliruan mungkin wujud disebabkan kriteria baharu yang ditetapkan.

“Keyakinan kepada kriteria baharu yang ditetapkan oleh negara kita oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), kita menerima pakai menentukan Rukyah dengan 3 darjah menegak dan 6.4 darjah melengkung.

“Berasas kepada kriteria tersebut, maka dari segi kiraan anak bulan, agak sukar untuk ia dilihat tetapi kemungkinan tetap ada.

“Jadi, apa yang belaku pada hari ini, kemungkinan itu telah menampakkan kepada kita bahawasanya bila langit cerah dan tiada sebarang halangan untuk mencerap, maka anak bulan boleh dilihat walaupun dari segi kriteria ia tidak mungkin.

“Jadi, dengan umur anak bulan 15 jam lebih itu, ia sebenarnya telah memberi satu kemungkinan untuk berlaku kenampakan anak bulan walaupun kriteria tidak menyokong tentang data itu,” jelasnya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini mengumumkan 1 Syawal ditetapkan pada 2 Mei 2022, Isnin.

PALING POPULAR

To Top