Umum

Sambutan Aidilfitri kembali normal, hasil usaha dan komitmen kerajaan sejak awal – Muhyiddin

Pada dua Adilfitri sebelum ini, rakyat Malaysia terpaksa merayakannya dalam norma baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Namun tahun ini Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, suasana berhari raya kembali normal dan ia merupakan hasil pendekatan kerajaan sejak awal lagi, dalam menangani penularan wabak berkenaan.

“Semua ini adalah hasil daripada langkah, tindakan dan pendekatan drastik kerajaan sejak dari awal pandemik ini bermula dan komitmen serta disiplin rakyat seluruhnya dalam memerangi wabak COVID-19. Pelbagai bentuk inisiatif pemulihan negara juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan negara kita dapat keluar daripada belenggu pandemik dan rakyat kembali menjalani kehidupan biasa.

“Antaranya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus populasi dewasa negara ini menerima dos vaksinasi lengkap seterusnya membuka jalan bagi membolehkan negara memasuki fasa endemik.

“Saya ingin melahirkan rasa syukur kerana beberapa cadangan dan syor yang dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara yang saya sendiri pengerusikan diterima Kerajaan antaranya pembukaan pintu sempadan negara sepenuhnya serta peralihan ke fasa endemik mulai 1 April lalu yang menjadi ‘exit strategy’ bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal,” katanya dalam perutusan khas Aidilfitri, pada Ahad.

Dalam masa yang sama, beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak melupakan umat Islam yang menyambut perayaan Aidilfitri di negara bergolak seperti Palestin, Iran dan Syria.

“Walaupun kita tidak dapat membantu secara fizikal, marilah kita sama-sama berdoa agar konflik yang sedang melanda negara mereka cepat berakhir dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan dalam suasana aman damai,” tambahnya.

PALING POPULAR

To Top