Majlis Peguam mengeluarkan pekeliling yang menyenaraikan mengenyit mata, suilan serigala dan juga membelai kepala seseorang itu sebagai gangguan seksual, termasuk juga komen tidak sesuai terhadap penampilan seseorang yang mungkin menghina atau sebaliknya.
Gerak isyarat tidak senonoh atau sentuhan fizikal yang membuatkan seseorang tidak selesa turut dianggap tidak sesuai, meskipun dilakukan secara bergurau.
Majlis Peguam berkata, mengugut atau menakut-nakutkan rakan sekerja kerana menolak permintaan tidak sesuai juga dianggap paksaan seksual.
“Ini termasuk ugutan jelas atau tersirat terhadap akibat negatif, seperti hilang pekerjaan, turun pangkat atau merosakkan reputasi profesional seseorang, jika mereka menolak permintaan tidak sesuai,” menurut pekeliling itu.
Majlis Peguam menasihatkan mangsa membuat aduan berhubung insiden sedemikian melalui “Peer Support Network” yang dilancarkannya dua tahun lalu dan ia menjamin kerahsiaan pengadu.
Walaupun tiada sebab pekeliling itu dikeluarkan, difahamkan terdapat beberapa kes kebelakangan ini yang mungkin menjadi sebab keperluannya.
Menurut wakil Selangor dalam Majlis Peguam, V Kokila Vaani, terdapat beberapa aduan gangguan seksual dalam profesion undang-undang sejak kebelakangan ini, tetapi kebanyakan mangsa terpaksa membuat laporan polis dan memulakan saman sivil untuk menyelesaikannya.
“Pada pandangan saya, walaupun satu kes dalam profesion undang-undang dianggap terlalu banyak kerana tugas peguam untuk melindungi rakyat, bukannya mengganggu mereka.
“Jadi, lebih baik Majlis Peguam memperincikan perbuatan dianggap gangguan seksual dan pekeliling peringatan yang dikeluarkan baru-baru ini tepat pada masanya,” kata bekas ketua Majlis Peguam Selangor itu dilaporkan FMT.