Umum

Keputusan rayuan kes rasuah Isa Samad ditangguhkan kepada 6 Mac

Gambar Facebook

Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan bekas pengerusi Felda Isa Samad terhadap sabitan dan hukuman kes rasuah yang dihadapinya kepada 6 Mac ini.

Tarikh baru itu ditetapkan ketika pengurusan kes hari ini dihadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Huda Humaira Idris.

Pada 28 November lalu, pendaftar menetapkan tarikh 31 Jan ini untuk mahkamah membacakan keputusan.

Menurut laporan FMT, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz berkata tarikh keputusan itu ditukar kerana salah seorang hakim dalam panel yang mendengar rayuan itu sedang bercuti sakit.

Hakim Vazeer Alam Mydin Meera mempengerusikan sidang yang mendengar rayuan daripada pasukan pembelaan Isa dan pihak pendakwaan pada 16 Oktober lalu.

Dua lagi panel adalah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.

Pada 3 Februari 2021, Hakim Nazlan Ghazali mensabitkan Isa atas sembilan tuduhan menerima rasuah bernilai RM3.09 juta sebagai balasan untuk meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching oleh Felda.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Nazlan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan tempoh pemenjaraan keseluruhan 54 tahun dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak, bermakna Isa hanya perlu menjalani hukuman itu selama enam tahun.

Isa kini dibebaskan dengan ikat jamin RM1.5 juta dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan sehingga proses rayuan selesai.

PALING POPULAR

To Top