Umum

Keputusan Najib, Arul Kanda bebas atau bela diri pada 3 Mac

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 3 Mac ini untuk keputusan sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Sebelum ini, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menetapkan 30 Jan untuk menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi, mengesahkan tarikh baharu keputusan itu dan memaklumkan pihaknya menerima e-mel daripada mahkamah hari ini.

Beliau berkata berdasarkan e-mel itu, Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas menyatakan keputusan kes yang ditetapkan pada 30 Jan dilapangkan dan semua pihak tidak perlu hadir pada tarikh berkenaan.

“Tarikh baharu untuk keputusan telah ditetapkan semula pada Jumaat, 30 Mac jam 9.30 pagi,” katanya.

Pada 7 Sept 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.

Najib, 69, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top