Umum

Perladangan sektor tunggal boleh bawa masuk pekerja asing

Gambar MPOB

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata sektor perladangan yang kini memerlukan kira-kira 40,000 pekerja menjadi sektor tunggal dibenar membawa masuk pekerja asing.

Kata Menteri itu, keputusan itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail selepas perbincangan dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim, minggu lalu.

“Kementerian itu telah setuju pekerja-pekerja asing selain daripada perladangan tidak dibenarkan lagi masuk.

“Tetapi untuk industri perladangan ini terbuka,” katanya.

Johari berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Bagaimanapun, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata permohonan pengambilan pekerja asing itu akan diperketat supaya Malaysia tidak dituduh melakukan “buruh paksa” dan “pemerdagangan manusia”.

“Sesiapa nak bawa pekerja-pekerja asing ini kena pastikan tempat tinggal yang elok (dan) sempurna.

“Mana-mana orang bawa masuk pekerja ini dalam negara kita, kemudian sampai sini tak ada kerja, maka tetap kena bayar gaji kepada orang tersebut,” katanya.

Sementara itu, Johari turut mengumumkan peruntukan RM100 juta untuk membantu pekebun kecil di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula.

PALING POPULAR

To Top