Umum

Rosmah mohon pasport dipulangkan, mahu lawat Nooryana bersalin di Singapura

Datin Seri Rosmah Mansor membuat permohonan di Mahkamah Rayuan Putrajaya supaya pasport antarabangsanya dipulangkan untuk melawat anak sulung, Nooryana Najwa Najib yang dijangka bersalin di Singapura.

Permohonan itu dibuat Rosmah, 72, yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk kali keempat menerusi notis usul difailkan Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu.

Rosmah berhasrat ke Singapura dari 18 hingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 September dan 9 September hingga 31 Oktober.

Katanya, permohonan itu atas alasan melawat ahli keluarga termasuk Nooryana Najwa yang kini mengandung anak ketiga dan dijangka bersalin pada 28 Ogos ini di Singapura.

Dalam afidavit sokongan notis usul itu, Rosmah berkata beliau dinasihati peguamnya bahawa permohonan untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu adalah teratur dan pendakwaan tidak mempunyai apa-apa bantahan terhadapnya.

“Atas dasar itu, saya dengan rendah diri memohon kepada mahkamah suatu kebenaran untuk membenarkan pasport antarabangsa saya diambil oleh saya untuk saya menggunakannya bagi mengadakan lawatan peribadi bagi melawat dan menemani anak perempuan saya yang kini mengandung anak ketiga.

“Anak perempuan saya dijangka bersalin pada 28 Ogos ini dan berpotensi untuk melahirkan anak lebih awal

seperti sebelum ini,” katanya.

Rosmah berkata, beliau mengaku janji untuk menyerahkan kembali pasport itu kepada mahkamah dengan kadar segera selepas pulang dari Singapura.

“Saya sedar akan natijah sekiranya saya ingkar dan enggan menuruti perintah mahkamah untuk hadir sebutan dan perbicaraan.

“Saya sehingga ke hari ini tidak pernah gagal dan cuai untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan tanpa sebab atau alasan yang munasabah,” katanya.

Permohonan Rosmah itu akan didengar Mahkamah Rayuan esok.

Rosmah buat kali pertama pernah dibenarkan untuk mendapatkan sementara pasportnya pada 15 Oktober 2021 bagi melawat Nooryana Najwa yang bersalin anak kedua dan kali kedua pada 21 Mac lalu, juga untuk melawat Nooryana Najwa dan cucu lelakinya yang tidak sihat.

Sementara bagi permohonan ketiga yang dibuat melalui notis usul bertarikh 2 Jun lalu, Rosmah memohon mendapatkan sementara dokumen perjalanan berkenaan selama empat minggu iaitu dari 6 Jun sehingga 7 Julai ini.

Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 1 September tahun lalu, yang mendapati beliau bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, tetapi membenarkan permohonannnya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya yang akan didengar Mahkamah Rayuan pada 11 hingga 14 Julai ini.

Nooryana Najwa berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev dan mereka kini menetap di Singapura.

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top