Umum

Kerajaan diminta kaji semula kenaikan tambang feri ke Pulau Pangkor

Kerajaan perlu mengkaji semula kadar kenaikan harga tiket feri ke Pulau Pangkor dari Jeti Lumut dan Jeti Marina Island yang disifatkan terlalu drastik bagi pulau peranginan yang kecil itu.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor Mohd Zamzuri Suid berkata kajian boleh dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat kaedah lain yang boleh dilakukan tanpa mengenakan kenaikan harga terlalu tinggi kerana ia membebankan pelancong golongan pertengahan dan bukan mewah.

“Pangkor ini tidak terlalu banyak aktiviti pelancongan seperti pulau lain malah produk bebas cukai juga adalah terhad. Kalau kita lihat Pulau Langkawi mempunyai pelbagai aktiviti termasuk kereta kabel yang sememangnya berbaloi bagi pelancong untuk membayar tiket feri yang tinggi, jadi ia perlu dikaji semula,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dilapor, terdapat kenaikan harga tiket feri ke Pulau Pangkor dari Jeti Lumut dan Jeti Marina Island bermula Jumaat lepas iaitu daripada RM7 kepada RM10 bagi perjalanan sehala dan RM14 kepada RM20 bagi perjalanan pergi balik untuk dewasa.

Tiket kanak-kanak pula daripada RM2.50 kepada RM5.50 sehala dan RM5 kepada RM11 pergi balik manakala warga pulau peranginan itu masih menikmati harga sama iaitu RM6 untuk perjalanan pergi balik.

Pengerusi Persatuan Teksi Cawangan Pulau Pangkor Mohammad Apendi Ramli pula berpandangan kenaikan tambang itu tidak akan menjejaskan atau memberi kesan kepada kehadiran pelancong.

“Saya yakin pelancong akan tetap mengunjungi pulau ini walaupun ada kenaikan harga cuma tambang dari Jeti Marina tidak seharusnya disamakan dengan perjalanan feri dari Jeti Lumut.

“Harga tiket dari Jeti Marina perlu lebih rendah kerana perjalanannya hanya mengambil masa kira-kira 10 minit berbanding Jeti Lumut selama setengah jam dan kos minyak juga berlebihan,” katanya.

Beliau berkata penumpang feri dari Jeti Lumut juga boleh menikmati pelbagai pemandangan menarik seperti tempat penyimpanan tentera laut dan rumah nelayan yang akan membuatkan pelancong berpuas hati walaupun terpaksa membayar tiket yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun ketika dihubungi berkata pihaknya akan berjumpa dengan pengusaha feri serta penggiat pelancongan di Pulau Pangkor dalam masa terdekat sebelum tindakan selanjutnya.

“Saya sudah lama merancang untuk mengadakan perjumpaan ini kerana saya difahamkan pengusaha hendak menaikkan tambang selain ada rungutan daripada penumpang mengenai jadual masa pergerakan feri.

“Kita sudah atur pertemuan dan akan menunggu jawapan masyarakat dan persatuan berhubung semua masalah berbangkit akibat kenaikan harga ini. Saya kena berjumpa mereka dan juga pengguna bagi memperoleh rumusan terbaik serta membuat keputusan bagi situasi menang-menang,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top