Umum

Seorang maut, empat parah nahas tiga kenderaan

Seorang lelaki maut manakala empat lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70, kereta Porsche dan motosikal Honda Ex5 selepas Bulatan Bandar Tun Razak, berhampiran Taman Tenaga di sini awal pagi Khamis.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan pada Khamis berkata, mangsa, lelaki tempatan berusia 40-an yang memandu SUV X70 maut di lokasi kejadian.

“PGO Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan dari MERS 999 pada jam 2.37 pagi seterusnya menghantar jentera ke lokasi kejadian.

“Terdapat dua orang mangsa yang menaiki kereta Porsche, seorang lelaki dan seorang wanita bukan warganegara Malaysia berumur dalam lingkungan 30-an mengalami parah.

“Begitu juga, penunggang dan pembonceng motosikal turut parah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kesemua mangsa parah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala mayat mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. –Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top