Umum

Kerajaan Kedah akan semak semula sistem hierarki Mahkamah Syariah

Gambar Facebook

Kerajaan Kedah akan menyemak semula sistem hierarki Mahkamah Syariah daripada tiga peringkat hierarki kepada empat peringkat.

Menurut Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, kerajaan akan meneliti untuk menambah satu lagi peringkat mahkamah selepas Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, dan Mahkamah Rayuan Syariah.

“Ini adalah bagi membolehkan pihak-pihak yang berlitigasi mempunyai satu lagi peluang untuk merayu selepas Mahkamah Rayuan Syariah.

“Hal ini juga secara tidak langsung akan memperbaharui kedudukan hakim-hakim syarie ke arah kedudukan yang lebih tinggi daripada semasa,” katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Kedah di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Beliau dilaporkan berkata, aspek Kehakimah Syariah adalah aspek kehakiman negeri yang perlu terus diperkasa selaras nilai ketinggian dan keadilan Islam.

Saranan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah agar penubuhan Mahkamah Syariah diletakkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah akan diteliti segera.

Sultan Sallehuddin ketika bertitah pada Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang DUN Kedah pada Isnin lalu, menyarankan kerajaan menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarki mahkamah itu, supaya memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terbabit.

PALING POPULAR

To Top