Umum

MB Kedah ucap terima kasih kepada PM yang buka ruang bincang projek pembangunan di Kedah

Gambar Facebook

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang membuka ruang kepada perbincangan berkaitan projek pembangunan di Kedah.

“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana telah mula berlembut dan membuka pintu kepada sebarang perundingan berkaitan dengan projek-projek ekonomi,” beliau dilaporkan berkata pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Sanusi berkata kerajaan negeri memohon sokongan kerajaan persekutuan dalam pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Sanglang dan pembangunan Kedah Aerotropolis di negeri Kedah.

Menurut beliau, ia adalah sangat penting untuk Kedah memiliki projek pembangunan bersifat strategik yang bakal membantu memperkasakan negara di pentas geopolitik.

“Tujuannya selain untuk menyemarakkan pembangunan ekonomi dan memperkasakan ekosistem pelaburan, adalah untuk meningkatkan peranan negeri dalam menyokong negara dalam permainan geopolitik serantau,” katanya.

Beliau menambah kerajaan Kedah juga akan terus memainkan peranan yang aktif dan bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) dalam memacu pertumbuhan ekonomi di koridor utara.

PALING POPULAR

To Top