Umum

Kerajaan Pahang belanja RM141.78 juta bawah Bantuan Prihatin Pahang

Gambar Facebook

Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM141.78 juta bagi pelaksanaan program-program di bawah inisiatif Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sejak ia diperkenalkan pada 2020 sehingga tahun ini.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, bagi tahun 2020 hingga 2021, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM31.30 juta untuk BPP. Bagin tahun-tahun berikutnya (2022) RM30 juta, RM42.40 juta (2023) dan RM38.08 juta (2024).

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri menyedari keperluan dan manfaat pelaksanaan inisiatif Bantuan Prihatin Pahang kepada rakyat negeri Pahang, ia sentiasa ditambah baik dan diperluaskan skop program di bawah inisiatif itu agar lebih ramai rakyat menerima manfaatnya.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri pada tahun ini, telah memperkenalkan 2 program terbaharu di bawah inisiatif BPP iaitu Program Berkhatan Anak Pahang dan Insentif Perkahwinan Kali Pertama yang kini diperluaskan kepada pasangan bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan jumlah peruntukan dan usaha kerajaan negeri memperluaskan program BPP yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Su Keong Siong (DAP) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggal Ketiga di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Wan Rosdy berkata, RM1 juta diperuntukkan untuk Program Berkhatan Anak Pahang membabitkan 3,000 penerima berumur 15 tahun ke bawah.

“Program ini telah bermula pada 13 Februari 2024 di Rompin dan telah selesai sepenuhnya pada 28 Februari 2024 di Cameron Highlands,” katanya.

Tambah beliau, Insentif Perkahwinan Kali Pertama dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 3 juta telah diperkenalkan pada tahun 2023 kepada pasangan yang beragama Islam.

“Kini inisiatif itu telah diperluaskan kepada 2,000 pasangan bukan Islam berdasarkan purata statistik perkahwinan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang.

“Inisiatif ini telah dilancarkan pada 27 Januari lalu semasa Moh Karnival Makmur Lipis dan masih dalam peringkat proses agihan bantuan,” ujarnya.

Wan Rosdy berkata, melalui BPP, Program My Lesen Pahang membabitkan peruntukan RM720,000 kepada golongan muda berusia antara 18 dan 21 tahun untuk mendapatkan lesen.

“Tahun ini, RM1.5 juta diperuntukkan kepada jemaah haji yang dikenali Barakah Haji Pahang iaitu setiap jemaah haji menerima RM750 berbanding tahun lalu RM500,” katanya

 

PALING POPULAR

To Top