Umum

Kerajaan Pahang lulus kawasan lomnbing NR-REE di Sungai Wang

Gambar Facebook

Kerajaan Pahang meluluskan kawasan seluas 220 hektar, yang berpotensi untuk dijadikan projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Sungai Wang, Mukim Hulu Jelai, Lipis.

Menurut Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail, cadangan tersebut diluluskan ketika mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 3 April lepas dan kerajaan negeri dalam peringkat pemurnian fasa akhir prosedur operasi standard (SOP) perlombongan NR-REE negeri.

Beliau berkata proses pemurnian itu diterajui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dan Pahang Mining Corporation (PMC) sebelum diangkat untuk pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa negeri.

“Delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan kerja ke tapak projek perintis perlombongan NR-REE di Kenering, mukim Hulu Perak, Perak pada 25 Sept lepas. Lawatan tersebut bertujuan melihat serta mempelajari teknik perlombongan NR-REE yang dilakukan tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Susulan itu, kerajaan negeri mengenal pasti kawasan yang berpotensi dijadikan projek perintis NR-REE iaitu di Sungai Wang, di mukim Hulu Jelai, Lipis,” katanya pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka) yang ingin mengetahui kesediaan kerajaan negeri untuk perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Pahang sebagai sumber pendapatan negeri.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri mengamalkan sikap terbuka kepada mana-mana pengusaha atau pelabur untuk menjalankan eksplorasi hasil bumi berkenaan di negeri ini, serta bersedia menawarkan kerjasama bagi pembukaan kilang memproses bahan itu di Malaysia khususnya di Pahang.

Menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim mengenai langkah kerajaan memastikan perlombongan itu mendapat hasil berikutan kerajaan persekutuan menetapkan hanya yang diproses boleh dieksport, Wan Rosdy berkata perkara itu dibangkitkan semasa pertemuan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Berhubung eksport ke luar negara, saya telah bangkitkan isu ini selepas lawatan di Perak dalam satu mesyuarat bersama perdana menteri dan ia dalam tindakan kerajaan,” katanya.

Ketika menjawab soalan Andansura Rabu (PN-Beserah) berhubung perkara berkenaan, Wan Rosdy berkata terdapat tiga lokasi yang mempunyai REE yang banyak iaitu Lipis, Raub dan sedikit di Bentong berdasarkan daripada laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Difahamkan ada lebih kurang 1.4 juta tan hasil REE (di kawasan tersebut) dan kalau kita bawa kepada Ringgit Malaysia ia lebih kurang RM80 bilion. Apabila dapat banyak hasil, banyaklah bantuan dapat diberikan kepada rakyat,” kata Wan Rosdy.

Menurutnya kerajaan negeri juga akan memastikan perlombongan hasil bumi berkenaan menggunakan kaedah terbaik dan selamat.

 

Sumber FMT

 

PALING POPULAR

To Top