Umum

Kerajaan perlu cari cara lain kawal inflasi

Kadar Dasar Semalaman (OPR) iaitu 3.0 peratus iaitu dengan tiada kenaikan sejak Mei lalu dilihat memberi reaksi positif melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Kelegaan sekejap pastinya kepada mereka yang mempunyai hutang rumah, hutang kad kredit dan pelbagai hutang atau pembiayaan kerana tiada tambahan wang yang perlu disediakan kepada kenaikan baharu OPR itu.

Bagi penganalisis ekonomi, pengekalan OPR oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini diharap langkah konsisten untuk mengekalkan kestabilan harga di pasaran semasa.

Bagaimanapun terdapat kebimbangan pengekalan kadar itu, dikatakan ia akan meningkatkan kecairan wang di tangan sekali gus menggandakan aktiviti jual beli.

Situasi ini pastinya akan meningkatkan kadar inflasi berikutan berlakunya lonjakan permintaan barangan dan perkhidmatan di pasaran terbuka.

Menurut Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour baru-baru ini, pihaknya berharap tiada lonjakan kepada kadar inflasi yang ketika ini dilihat inflasi teras masih tinggi malah lebih tinggi daripada biasa.

Jelasnya, inflasi yang tinggi boleh menyukarkan kehidupan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah serta ia boleh menjejaskan ekonomi.

Dalam erti kata lain, kenyataan Gabenor BNM itu membayangkan bahawa barangan di pasaran berkemungkinan akan terus naik dengan memberi contoh RM100 sekarang, nilainya mungkin akan lebih rendah pada masa depan.

Kemelut harga barang sedang meningkat, nilai ringgit merosot, pendapatan rendah B40 dan pendapatan sederhana M40 yang semakin mengecut, menuntut agar sesuatu langkah proaktif perlu diambil dan dilaksanakan secara berkesan.

Kerajaan bersama pihak perbankan, kementerian berkaitan perlu tunjukkan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat ini dalam tempoh terdekat.

Tindakan praktikal perlu dibuat dan bukannya teori semata-mata. Mungkin pengawalan harga atau memperketat lagi penguatkuasaan terhadap harga barang-barang dapat dilakukan.

Mungkin Kementerian Kewangan dan bank pusat perlu mencari resolusi meredakan tekanan kenaikan kadar faedah menerusi rizab-rizab yang dimiliki oleh bank-bank tempatan buat sementara waktu.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top