Umum

Kerajaan perpaduan ‘tak boleh diharap’, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyifatkan kerajaan perpaduan “tidak boleh diharap” dalam kritikannya terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim.

Beliau berkata terdapat banyak rungutan mengenai cara ekonomi dikendalikan, kenaikan kos sara hidup, kenaikan kadar faedah, dan Bursa yang tidak bersemangat.

“Rakyat nak tahu apa rancangan kamu?” soal Muhyiddin, dan menambah rakyat memberi peluang kepada Anwar ketika menuju 100 hari pertama pentadbirannya

“Apa jadi? Tiada apa-apa,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FMT.

“Tetapi, kemudian orang kata ‘baru 100 hari’. Berilah masa lebih sikit. Sekarang sudah tujuh bulan,” kata bekas perdana menteri ini, sambil menambah Anwar belum menunjukkan kemampuan mengurus negara.

“Beliau pergi luar negara dan macam-macam tempat, tetapi urusan hal ehwal domestik tidak jadi tumpuan.”

Menurutnya, ramai isi rumah berpendapatan 40% pertengahan (M40) tergolong dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% bawahan (B40) sejak pandemik Covid-19.

Kemerosotan ini petanda krisis akan melanda, tegas Muhyiddin yang mengakui ia tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata.

Bukan saja Anwar dilihat tidak berupaya mengawal harga barang, beliau turut mempersoalkan peranan jawatankuasa Jemaah Menteri ditubuhkan untuk menangani kos sara hidup.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kebimbangan terbesar ketika ini ialah kestabilan kerajaan perpaduan.

Katanya, kerajaaan perpaduan pimpinan Anwar dilihat “berpecah”, berbanding pakatan pimpinan PN.

“Siapa yang lebih padu?” soal Muhyiddin, menyenaraikan percakaran antara Umno dengan DAP serta antara Umno dengan MCA sebagai contoh.

“Kami tak ada masalah sedikit pun.”

Kerajaan perpaduan ditunjangi Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah.

Anwar mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, namun spekulasi tentang usaha menumbangkan kerajaan masih berlegar.

Menurut Muhyiddin, Anwar yang bimbang akan kelangsungan PH sedar beliau bergantung kepada sokongan Presiden Umno Zahid Hamidi.

Atas sebab itu, katanya, Anwar sanggup melantik Zahid sebagai timbalannya walaupun presiden Umno itu berdepan pertuduhan rasuah.

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top