Umum

Kerajaan semakin galak guna undang-undang tekan lawan politik, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, kerajaan kini semakin galak menggunakan undang-undang untuk menekan lawan politik mereka.

Menurutnya, perkara itu sama sekali bertentangan dengan janji reformasi yang dilaungkan oleh parti kerajaan satu ketika dahulu termasuk untuk menghapuskan Akta Hasutan.

Beliau melahirkan rasa simpati terhadap sahabatnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi yang telah didakwa di bawah Akta Hasutan.

“Inilah wajah sebenar mereka untuk ditatap oleh rakyat.

“Saya ingin menegaskan bahawa antara dasar dan prinsip perjuangan Perikatan Nasional yang utama ialah untuk menjunjung, memelihara dan mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan. Prinsip ini akan terus dipertahankan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berdoa agar Sanusi  mendapat keadilan di mahkamah.

“Saya juga mengajak seluruh rakyat supaya bersama-sama bermunajat dan mendoakan keselamatan beliau serta kekal bertenang,” ujarnya.

Semalam, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan membuat kenyataan menghasut dan berkecenderungan membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Dua pertuduhan menghasut itu adalah berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik yang berlangsung pada 11 Julai lalu.

Beliau diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan diperintahkan tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kes itu sehingga perbicaraan selesai. – MalaysiaGazette

PALING POPULAR

To Top