Umum

Ketua penerangan Bersatu cabar Mat Said di Kijal?

Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris dilaporkan akan mencabar Ahmad Said di DUN Kijal, kerusi disandang bekas menteri besar itu sejak 1990.

Bercakap kepada FMT, sumber Bersatu itu berkata pada dasarnya kepimpinan parti sudah memaklumkan keputusan tersebut kepada Razali, yang juga ketua penerangan parti.

“Sebagai pemimpin Bersatu nombor satu di Terengganu, parti melihat beliau calon paling layak untuk merampas DUN Kijal daripada Umno,” menurut sumber itu.

Razali ketika dihubungi enggan mengulas lanjut, namun meminta semua pihak menunggu senarai muktamad calon dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya minggu ini.

“Desas-desus memang ada dengar tetapi saya serahkan kepada PAS sebagai ketua di sini,” katanya ringkas.

Difahamkan, Ahmad yang juga ketua Umno negeri akan mempertahankan DUN Kijal pada PRN 12 Ogos ini.

Pada PRU14, Ahmad mengekalkan kerusi itu dalam pertembungan tiga penjuru dengan memperoleh majoriti 1,265 undi.

Razali kemudian menjelaskan hasil perbincangan dengan PAS Terengganu, Bersatu dijangka diberi tambahan satu lagi kerusi daripada lima kerusi sudah diumumkan.

“Ia masih di peringkat perbincangan dan diketahui selewat-lewatnya Khamis ini.”

Selain “kerusi panas” Kijal, Bersatu sebelum ini dilaporkan akan bertanding di DUN Hulu Besut, Telemong, Permaisuri dan Langkap, daripada keseluruhan 32 kerusi.

Bulan lalu, Perikatan Nasional (PN) negeri memutuskan semua calon Bersatu atau PAS akan bertanding atas logo “bulan” pada PRN Terengganu, bulan depan.

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top