Umum

Kerajaan teruskan projek Jana Wibawa bantu Bumiputera

Kerajaan akan meneruskan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) untuk membantu golongan Bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan tidak membatalkan Jana Wibawa sebaliknya ia melalui proses runding semula berikutan terdapat banyak perlanggaran sebelum ini.

Katanya perlanggaran yang dimaksudkan termasuklah ‘membumiputerakan’ syarikat milik Cina, sedangkan Jana Wibawa sepatutnya dikhususkan kepada Bumiputera sahaja.

“Ada syarikat Cina ‘dibumiputerakan’ sebab kebetulan kawan baik di Johor… itupun nak pertahankan… ini projek Bumiputera tetapi bagi pada Cina… peraturan apa?

“Sedangkan ini projek dikhususkan untuk Bumiputera,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sama ada wujudnya kesalahan Jana Wibawa versi 2.0 di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Dikaitkan Jana Wibawa 1.0 itu Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Jana Wibawa 2.0 itu Bera (Ismail Sabri)… saya tidak ambil kisah itu terpulang kepada SPRM nak semak.

“Saya tidak kata harus semak, kalau rasa ada bukti wujudnya Jana Wibawa 2.0 di bawah Bera, siasat… saya tidak suruh,” katanya.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top