Umum

Kes buli MCKK, polis jangka terima laporan perubatan hari ini

Polis Perak dijangka terima laporan perubatan lengkap daripada Hospital Kuala Kangsar berhubung kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada hari Jumaat.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, kertas siasatan kes tersebut akan dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu hadapan.

“Sehingga kini, kita hanya menunggu laporan lengkap daripada pihak Hospital Kuala Kangsar. Kalau sudah lengkap, kita akan hantar semula kepada AGC untuk menerima arahan seterusnya, sama ada dituduh atau sebaliknya,” katanya.

Mohd Yusri berkata demikian pada satu sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari Jumaat.

Menurutnya, setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang permohonan untuk menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah.

“Kedua-dua pihak, baik ibu bapa mahu pun sekolah, tidak ada yang berurusan atau berhubung dengan kita untuk menarik balik kes ini,” tambahnya.

Pada 11 Nov lalu, Mohd Yusri berkata, pihaknya telah menerima beberapa arahan khusus daripada AGC untuk melengkapkan siasatan kes buli di sekolah berkenaan.

Menurutnya, antara arahan khusus itu ialah mendapatkan laporan penuh perubatan mangsa.

Terdahulu, tular di media sosial kes membabitkan seorang pelajar sekolah itu dimasukkan ke hospital, dipercayai dibuli pelajar senior.

Turut tular, sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Dalam kejadian itu, tiga pelajar lelaki Tingkatan Empat dikatakan dipukul empat pelajar Tingkatan Lima dan mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Ekoran daripada itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru MCKK menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli itu dan dianggap memberi imej buruk kepada sekolah terkenal itu.

 

 

Sumber Awani

 

 

PALING POPULAR

To Top