Umum

Kes gangguan seksual, Ketua Pengarah agensi diambil keterangan

Gambar Hiasan

Polis mengesahkan telah merakam keterangan 3 individu termasuk ketua pengarah sebuah agensi penguatkuasa berhubung dakwaan kes gangguan seksual terhadap seorang wanita.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, individu yang dipanggil adalah seorang suspek lelaki, pegawai khas kepada suspek, dan mangsa, yang merupakan seorang wanita Melayu.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit milik suspek, selain beberapa lagi saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Kita dalam rangka (panggil) beberapa lagi saksi yang boleh membantu kita dalam siasatan ini. Semalam polis ambil keterangan suspek pada jam 2.30 petang dan selesai sekitar 4 petang iaitu hampir dua jam.

“Sama juga, biarkan kami selesaikan siasatan terhadap kes ini supaya ia tidak menimbulkan spekulasi,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman, SAC Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 507A Kanun Keseksaan, Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 232 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, tular satu salinan laporan polis oleh seorang wanita berusia 39 tahun yang bertugas sebagai penasihat kewangan, yang dibuat di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, pada 14 November lalu.

Laporan berkenaan menyebut bahawa wanita itu menjadi mangsa kepada gangguan seksual seorang ketua pengarah bergelar Datuk.

Selain mengeluarkan kata-kata berbaur lucah, ketua pengarah terbabit juga didakwa telah beberapa kali mengajaknya untuk berjumpa di hotel dan pusat karaoke, namun ditolak olehnya.

PALING POPULAR

To Top