Umum

Kes pukul pemandu kontena, polis cari Muhammad Putra

Polis giat mengesan seorang lelaki untuk membantu siasatan kes pukul pemandu kontena ketika insiden kemalangan maut di Jalan Telok Gong, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lelaki itu dikenali Muhammad Putra Abdullah berusia 31 tahun.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu dan kejadian terbabit diminta untuk menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

“Sehingga hari ini seramai dua lelaki tempatan berumur 38 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod lampau manakala suspek kedua mempunyai dua rekod lampau bersabit dadah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, selain itu, seramai enam orang saksi telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Katanya, pengawai penyiasat dalam proses melengkapkan siasatan dan akan rujuk kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa yang terdekat.

“Pihak polis masih meneruskan usaha untuk mengesan dan menangkap individu-individu yang terlibat,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat ke atas harta benda.

22 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita bersama dua pembonceng iaitu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan kakaknya berusia sembilan tahun dikatakan hilang kawalan sebelum jatuh di atas jalan.

Kanak-kanak perempuan itu kemudian digilis manakala penunggang serta seorang pembonceng dilaporkan cedera.

Susulan itu, sekumpulan lelaki telah berkumpul dan memukul pemandu kontena berusia 36 tahun terbabit hingga cedera di bahagian pipi selain bertindak memecahkan cermin hadapan kenderaan terbabit. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top