Politik

Kestabilan politik boleh dicapai jika Umno tak perintah lagi, kata Sanusi

Kestabilan politik dalam negara hanya boleh dicapai sekiranya Umno tidak lagi memerintah, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menteri Besar Kedah itu berkata, ketidakstabilan politik menyebabkan beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan akibat tindakan BN selepas diberi peluang kembali memerintah.

“Formulanya, Umno tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang Umno mempunyai kerusi lebih sikit mesti PRN. Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan Ketua Menteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih.

“Kita tengok negeri lain bila mereka (Umno) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah, kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak,” katanya menurut laporan Sinar Harian ketika menghadiri sebuah program di Johor Bahru hari ini.

Sanusi berkata, kestabilan dalam pemerintahan negara harus mempunyai kesepakatan, tetapi BN khususnya Umno dilihat terus menjadi pihak mencetuskan perbalahan itu.

“Dia macam kita duduk satu rumah, makan satu meja, masak satu lauk, tetapi dia tikam belakang kita, inilah perangai BN. Kita kalau nak hidup aman, lidah dengan hati mesti sama.

“Mereka (Umno) sudah menerima macam-macam, tetapi tetap tamak kerana mereka kalau boleh mahu semua. Tengok apa yang mereka tidak dapat, jika bukan jawatan menteri, mesti pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).”

Beliau mendakwa tindakan BN terlalu menuntut beberapa PRN diadakan kini disebabkan mereka mahu menunjukkan parti itu kembali diterima rakyat.

Katanya, formula ini sama dengan apa yang dilakukan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan dipercayai diamalkan pula Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

“Ini strategi digunakan Anwar dan diikut pula oleh Zahid yang juga anak muridnya. Mereka (Umno) mahu tunjuk yang konon mereka sudah mendapat keyakinan kembali, itu sebab mereka buat PRN demi PRN.

“Beza sikit daripada Anwar, kalau boleh lihat betapa beliau (Anwar) berjaya buat pilihan raya kecil (PRK) pada 2008 hingga 2013, tetapi tidak boleh buat PRN kerana ketika itu tiada negeri yang goyah, Zahid berjaya lakukan,” katanya.

PALING POPULAR

To Top