Umum

KKD bincang dengan agensi lain berkaitan kawal selia TikTok Shop

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan agensi dan kementerian yang berkaitan berkenaan isu kawal selia TikTok Shop.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mendapat maklumat asas mengenai demografi dan barangan yang dijual menerusi platform itu selepas timbalannya, Teo Nie Ching mengadakan pertemuan dengan pihak TikTok pada hari Khamis lepas.

Menurutnya, beliau telah meminta agar diadakan perbincangan susulan kerana masih memerlukan maklumat lebih terperinci sebelum diadakan perbincangan dengan kementerian dan agensi lain, kerana bidang kuasa KKD dan SKMM adalah lebih kepada kawal selia penggunaan rangkaian.

Beliau turut berkongsi bahawa beliau sendiri pernah menerima aduan orang awam yang melahirkan kerisauan jika langkah yang sama diikuti oleh kerajaan, namun pada masa sama, beberapa gedung besar turut membangkitkan isu berkaitan persaingan harga.

Walaupun mendapat kerjasama daripada TikTok, sehingga hari ini belum ada wakil platform media sosial tersebut di Malaysia, kata Fahmi selepas menyerahkan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Lembah Pantai hari Sabtu.

“Sekarang kita terpaksa tunggu sehingga pegawai-pegawai datang dari Singapura, Filipina dan sebagainya,

“Ini tidak kondusif kerana ia melewatkan (urusan), dan seperti saya sebut sebelum ini, kerajaan khususnya KKD dan SKMM sedang meneliti langkah untuk tingkatkan kawal selia,” katanya.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top