Umum

KKM arah henti jualan “Kingu Ginseng Candy”

Gambar Facebook

Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan menghentikan penjualan gula-gula ginseng buatan Malaysia iaitu “Kingu Ginseng Candy” dan penyiaran kandungan iklan serta-merta kerana produk itu dikesan mengandungi tadalafil.

Dalam suatu kenyataan, KKM memaklumkan pihaknya melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menjalankan siasatan dan saringan awal mendapati produk itu dijual secara dalam talian di platform Lazada.

“Hasil siasatan juga mendapati label produk tersebut tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang/pembungkus/pengedar/empunya hak untuk mengilang/pengimport.

“Sehubungan itu, pihak Lazada diarahkan untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk tersebut serta-merta,” katanya.

Menurut kenyatan tersebut, tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk yang hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.

“Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan kesihatan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” katanya.

Justeru, KKM mengingatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk itu perlu menghentikan penggunaan dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan.

Terdahulu, Agensi Makanan Singapura (SFA) menasihatkan pengguna tidak membeli atau mengambil gula-gula buatan Malaysia itu kerana ia didapati mengandungi tadalafil, ubat preskripsi yang digunakan bagi merawat lemah tenaga batin.

Agensi itu berkata, produk berkenaan yang dikatakan berasal dari sebuah negara jiran dan ia dipasarkan di pelbagai platform e-dagang sebagai gula-gula yang didakwa memberi kesan kepada peningkatan seksual golongan lelaki.

Menurut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan

kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan. Apabila disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

PALING POPULAR

To Top