Umum

Kondom tidak berdaftar antara rampasan tertinggi serbuan MDA sepanjang tahun

Foto Kredit MDA

Medical Device Authority (MDA), pihak Berkuasa Peranti Perubatan merampas pelbagai produk perubatan yang tidak berdaftar bernilai RM500,000.

Ketua Eksekutif MDA Dr Muralitharan Paramasua berkata, kesemua peranti perubatan itu dirampas dalam 5 serbuan berasingan yang dilakukan sepanjang tahun ini.

4 peranti perubatan paling tinggi yang dirampas sepanjang operasi berkenaan adalah kondom, kanta sentuh, alat pemantau tekanan darah serta sarung tangan pakai buang.

“Terbaru, kita jalankan serbuan pada 13 September lalu membabitkan sebuah syarikat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dengan nilai rampasan kira-kira RM10,000.” katanya.

Dr Muralitharan berkata “Serbuan dilakukan selepas kita menerima aduan pada 6 Julai lalu dan hasil siasatan mendapati, syarikat ini berdaftar dengan MDA, bagaimanapun kita dapati syarikat ini mengedarkan peranti perubatan tidak berdaftar dalam pasaran negara ini.”

Berikutan itu, MDA telah mengambil tindakan untuk menggantung lesen serta mengeluarkan arahan serta-merta untuk menghentikan sebarang pengedaran peranti perubatan daripada syarikat terbabit.

Mengulas lanjut, Dr Muralitharan berkata, walaupun sudah menggantung lesen syarikat itu, namun risikan yang diadakan pada 16 Ogos lalu mendapati, syarikat terbabit gagal mematuhi arahan berkenaan serta masih menjual peranti tidak berdaftar itu.

“Semasa serbuan, kita merampas 7 kotak sarung tangan pakai buang, 33 kotak picagari tanpa jarum, 90 kotak lanset darah, 146 spatula penekan lidah, 1 unit gel ultrasound, 1,098 unit pembalut luka dan 3 kotak jarum pakai buang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta 737 kerana meletakkan peranti perubatan dalam pasaran semasa lesen syarikat ketika tempoh penggantungan.

Sekiranya disabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Dr Muralitharan berkata, pihaknya turut memberi amaran kepada klinik yang membeli peranti tidak berdaftar dengan syarikat berkenaan.

“Klinik tidak perlu mendaftar dengan MDA, namun mereka perlu memastikan peranti yang dibeli itu sudah mendapat pengesahan daripada MDA. Disebabkan itu, kita sudah mengeluarkan arahan berkaitan hal berkenaan,” katanya.

Dr Muralitharan berkata, selain di Kuala Lumpur, operasi turut dilakukan di Sungai Petani, Kedah dengan nilai rampasan RM3,000 diikuti di Batu Pahat, Johor (RM300,000), Puchong, Selangor (RM111,000) dan Johor (RM20,000).

Berkaitan keseluruhan operasi yang dijalankan, beliau berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan terhadap 16 syarikat yang mana 14 digantung lesen dengan 9 daripadanya sudah dikembalikan selepas mematuhi undang-undang ditetapkan, manakala dua lagi syarikat dibatalkan lesen.

PALING POPULAR

To Top