Umum

Kuasa membeli rakyat semakin menyusut

KUASA membeli dalam kalangan rakyat semakin menyusut kesan kenaikan kadar inflasi yang banyak didorong oleh peningkatan secara mendadak harga barangan dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini.

Penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perkara itu diburukkan lagi dengan pendapatan rakyat yang rendah dan tidak meningkat menjadikan kuasa membeli terus merosot.

“Kadar inflasi ni meningkat setiap tahun, tetapi data pada tahun 2020 menunjukkan gaji purata pula jatuh sembilan peratus.

“Jadi, inilah yang akan menyebabkan rakyat tertekan kerana tiada kenaikan gaji malahan ada yang menurun, tetapi harga barangan kekal naik,” katanya kepada SatuBerita ketika dihubungi.

Jelasnya, meskipun inflasi tahunan meningkat pada kadar yang rendah, catatan secara kumulatif sejak 2010 pula menunjukkan bahawa terdapat peningkatan harga keperluan asas yang mendadak.

“Itulah apa yang pengguna atau rakyat perlu faham, walaupun nampak bahawa kadar inflasi hanya meningkat tiga atau empat peratus setiap tahun, tetapi secara kumulatif sejak 2010 sebagai tahun asas, kita telah mengalami peningkatan yang amat ketara dari segi kos barangan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Amim Othman, berkata kenaikan kadar inflasi yang mencecah sehingga 3.0 pada pertengahan 2022 benar-benar memberi kesan kepada ekonomi keluarga apabila kuasa membeli semakin mengecil.

Jelasnya, kadar inflasi yang tinggi itu akan meningkatkan harga barangan keperluan asas sekali gus menyebabkan kuasa pembeli kian terjejas.

“Apabila berlaku kenaikan harga barangan, itulah yang menyebabkan kuasa pembeli ini rendah. Sebagai contoh, sebelum ini sekiranya kita lihat ikan temenung dijual pada harga RM10 dan dilihat sebagai makanan yang mampu dibeli oleh orang ramai

“Tetapi sekarang, ikan tersebut sudah mencapai sehingga RM15 dan RM18 dan ini pasti memberi tekanan kepada kuasa pembeli pengguna,” katanya.

Beliau berkata, konsep kuasa pembeli boleh difahami berdasarkan kemampuan pengguna untuk berbelanja berdasarkan harga barangan di pasaran.

“Kuasa pembeli ini sebenarnya kalau kita hendak lihat dengan harga RM1, berapa banyak barang yang pengguna boleh dapat dalam pasaran?

“Contohnya, sebelum ini dengan harga RM1 kita boleh membeli 10 batang pensel. Tetapi, apabila ada inflasi, sekarang mungkin kita hanya dapat enam batang, itulah yang jadi apabila kuasa pembeli rendah,” katanya.

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

To Top