Umum

‘Ladang’ ganja di belakang rumah, bekas diplomat, anak lelaki ditahan

Polis memberkas seorang bekas diplomat berstatus Datuk dan anak lelakinya kerana disyaki mengusahakan ladang ganja di belakang villa mereka, di Kampung Sum Sum, Janda Baik, di sini.

Dalam serbuan pertama pada Sabtu lalu, polis menahan diplomat berusia 78 tahun itu selepas polis menemui 102 pokok ganja pelbagai saiz setinggi dua meter di kawasan rumahnya, seluas 5,000 meter persegi, yang dianggarkan RM61,000.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan kira-kira pukul 6 petang itu dilakukan berdasarkan maklumat orang ramai.

“Polis turut menemui dua botol berisi cecair dipercayai minyak ganja yang dijual dengan harga RM250 sebotol dan 1.2 kilogram (kg) daun ganja kering. Saya rasa ini mungkin rampasan terbesar di Malaysia, melibatkan kes semaian atau tanaman yang hasilnya dijadikan minyak bagi kegunaan.

“Kita tidak menolak kemungkinan lokasi rumah itu yang terpencil membuatkan kegiatan mereka sukar dikesan,” katanya pada sidang media di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Ramli Mohamed berkata, susulan penahanan diplomat itu, beliau berkata, polis kemudian menahan anak lelakinya yang berusia 53 tahun, kira-kira pukul 5.30 petang di rumahnya  di Shah Alam, Selangor, pada Isnin kerana dipercayai turut terlibat menanam ganja.

Beliau memaklumkan, ujian saringan air kencing anak lelaki itu mendapati dia positif dadah.

“Semasa soal siasat salah seorang suspek mendedahkan aktiviti penggunaan beberapa titik cecair disyaki minyak ganja yang dicampur ke dalam minuman oleh pengguna, sejak tiga tahun lalu,” jelasnya.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati ladang ganja itu diusahakan sejak 2015 manakala benih semaian itu dkatakan diambil daripada ganja mampat.

Beliau memberitahu, bekas diplomat itu kini direman tujuh hari manakala permohonan reman terhadap anaknya akan dibuat pada Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6B ADB 1952.

Jika sabit dengan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

PALING POPULAR

To Top