Sports

Langkah BAM hantar pemain muda keputusan tepat – Faizal Azumu

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan tepat menghantar barisan pemain muda beraksi pada kempen Piala Thomas 2020 di Aarhus, Denmark, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata meskipun tersingkir di pusingan suku akhir, pasukan negara yang mempunyai purata umur 23 tahun dengan lima pemain berusia 24 tahun berjaya memberikan saingan sengit berdepan lawan yang berstatus terbaik dunia serta lebih berpengalaman.

Katanya kempen itu juga memberi pendedahan berguna kepada pemain muda dalam usaha BAM kembali menjadikan Malaysia sebagai antara kuasa besar sukan badminton.

“Bukannya mereka kalah mudah, mereka kalah dengan beri tentangan sengit, ini bermakna keputusan itu tepat dan kita juga hendak melihat kejayaan lebih besar selepas ini.

“Tiada siapa di Malaysia yang mengharapkan pasukan pergi untuk bawa balik piala, kita tidak letakkan sasaran itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Mobile Legends Pro League (MPL) Malaysia Musim Ke-8 di sini semalam..

Pada aksi suku akhir Jumaat lepas, Malaysia tewas 0-3 kepada musuh tradisi Indonesia sekali gus gagal membalas dendam kekalahan edisi 2018 kepada lawan sama di peringkat sama.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu lagi untuk menamatkan kemarau hampir 30 tahun kejuaraan Piala Thomas sejak kali terakhir bergelar juara pada 1992 di Kuala Lumpur, sementara kali terakhir skuad negara mara ke final kejohanan itu adalah pada 2014 di India.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi Malaysia pada saingan Piala Uber, Ahmad Faizal berkata skuad negara yang turut membariskan pemain muda dengan purata umur pasukan adalah 21 tahun beraksi dengan baik di sebalik cabaran hebat dari negara kuasa besar.

Beliau berharap semua pihak termasuk penyokong supaya terus memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan lelaki dan wanita negara yang menyasarkan kejayaan gemilang pada tahun 2024.

 

PALING POPULAR

To Top