Umum

Langkah Kajang, Port Dickson adalah pengkhianatan sebenar – Azmin Ali

Peletakan jawatan oleh wakil rakyat Kajang dan Port Dickson untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebenar-benar pengkhianatan, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan, tindakan tersebut mencabuli mandat rakyat dua kawasan Parlimen itu, yang telah memilih perwakilan mereka melalui proses demokrasi yang betul.

Maka, kata beliau, tidak mungkin rakyat boleh diperdayakan dengan tanggapan bahawa dirinya adalah pengkhianat atas penglibatannya dalam Langkah Sheraton.

“Langkah Kajang adalah satu pengkhianatan mutlak, yang mana wakil rakyatnya masih hidup, masih berkhidmat, dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU), tetapi oleh kerana nafsu serakah seseorang, maka dia dipaksa meletak jawatan bagi membolehkan beliau menjadi Menteri Besar Selangor ketika itu.

“Begitu juga episod yang berlaku di Port Dickson. Wakil rakyatnya terpaksa meletakkan jawatan kerana memenuhi nafsu serakah seseorang yang mahu menjadi Perdana Menteri. Apakah ini bukan pengkhianatan namanya?” soal Mohamed Azmin dalam program Agenda AWANI pada Selasa.

Berbanding ketika Langkah Sheraton, jelas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, tidak ada sesiapa yang didesak meletakkan jawatan.

Malah, katanya, mereka memperkukuhkan kedudukan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri supaya beliau mempunyai sokongan kuat bagi melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Namun malangnya, pergaduhan dan perebutan kuasa dalam PH itu menyebabkan Dr Mahathir kemudiannya meletakkan jawatan.

“Jadi, mengapa dipersalahkan saya atau Tan Sri Muhyiddin Yassin? Sedangkan, berlakunya kekosongan itu kerana tindakan Dr Mahathir meletak jawatan, maka proses penggantian itu dilakukan mengikut perlembagaan (parti),” kata Mohamed Azmin.

Pada 2014, Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang membawa kepada penganjuran pilihan raya kecil yang mana Anwar masuk bertanding merebut kerusi DUN itu.

Namun, Anwar menyerahkan pencalonan itu kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selepas dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan meliwat.

Pada PRU14 pula, kerusi Parlimen Port Dickson dimenangi Datuk Danyal Balagopal Abdullah, namun dia kemudiannya menyerahkan kerusi itu kepada Anwar pada September 2018.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top