Umum

Gerakan guna logo PN termasuk di Pulau Pinang

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) termasuk di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata penggunaan logo PN itu muktamad dan tiada perubahan selepas ini.

”Gerakan akan gunakan logo PN pada pilihan raya dan perkara ini sudah muktamad,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Bilik Gerakan PN Parlimen Bayan Baru di Georgetown hari ini, lapor Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Gerakan Pulau Pinang meminta Ahli Jawatankuasa Gerakan Pusat mempertimbang cadangan menggunakan logo sendiri pada PRU15 meskipun parti itu kini di bawah gabungan PN.

Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata perkara itu memandangkan pengundi di Pulau Pinang lebih mengenali logo parti tersebut memandangkan hampir 40 tahun pernah mentadbir di negeri ini.

Menurut Dominic, pihaknya mengakui sebelum ini terdapat pengundi yang tidak mengetahui parti itu telah keluar daripada Barisan Nasional (BN).

”Namun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, kita dapati peratusan pengundi yang mengetahui kita sudah keluar daripada BN telah meningkat. Kita juga maklumkan kepada pengundi veteran yang mana kita sekarang berada di bawah gabungan PN,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, Gerakan akan bertanding di 18 kerusi Parlimen seluruh negara pada PRU-15 dan lima Parlimen di Pulau Pinang iaitu Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Tanjung dan Batu Kawan.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top